Berita Harian News

BENGKEL BERI PANDUAN KENDALI PERBELANJAAN HARIAN KELUARGA

Dianjur Masjid Ar-Rabitah untuk bantu masyarakat Melayu/Islam hadapi kegawatan ekonomi

Oleh
Nurulhuda S. M. Albukhari
SEJAK berlakunya kegawatan ekonomi, Encik Khamsani Karim mula menyemak perbelanjaan harian keluarganya.

Beliau tidak mahu terperangkap dalam masalah kewangan.

Dan untuk memastikan semakan belanjawan yang dilakukannya itu betul, Encik Khamsani, seorang penjual daging di pasar Yew Tee, menghadiri bengkel kewangan anjuran Masjid Jamiyah ArRabitah baru-baru ini.

Tujuan masjid itu menganjurkan bengkel tersebut adalah untuk membantu masyarakat Melayu/Islam menghadapi kegawatan ekonomi.

Bersama dua anak perempuannya, Encik Khamsani menyertai Bengkel Kewangan Kompas Wang yang disampaikan oleh Encik AbuAyubul Ansari, seorang pakar motivasi keusahawanan dan kewangan setempat.

Menurut Encik Khamsani, 50 tahun, di samping dapat mempelajar ilmu kewangan baru, beliau juga lebih sedar peri pentingnya pengurusan wang keluarga.

‘Sebelum ini, kami sekeluarga ambil ringan hal pengurusan wang,’ kata bapa tujuh anak itu.

Salah seorang anak perempuan beliau yang turut menghadiri bengkel itu, Cik ‘Aathirah Khamsani, 18 tahun, berkata ilmu yang diterimanya dapat membantu beliau yang bakal melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar Julai ini.

‘Saya harap dengan ilmu yang dipelajar, saya dapat mencapai visi membuka sebuah hab Al-Quran satu hari nanti,’ ujar bekas pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah itu.

Menurut Encik Abu, atau lebih dikenali ramai sebagai Abang Abu, masalah yang membelenggu kebanyakan keluarga ialah masalah pengurusan wang.

Ramai yang tidak tahu ke mana perginya wang yang telah dibelanjakan, katanya.

‘Kompas Wang membantu melihat di mana duit kita mengalir,’ Kata Encik Abu, yang juga Pengarah Urusan NowAsia.

Kompas Wang merupakan sekeping poster dan buku setebal 143 muka surat yang mengetengahkan cara-cara mengawal dan menguruskan perbelanjaan keluarga dengan baik.

Turut diketengahkan dalam bengkel itu ialah hidup dengan berjimat cermat. Ini termasuk mengurangkan perbelanjaan sekeluarga dan membeli barang yang diperlukan sahaja.

Encik Abu, 36 tahun, juga menggalakkan peserta agar melabur wang mereka dengan menyimpannya di bank.

Selain itu, beliau juga menggalakkan masyarakat Melayu/Islam supaya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

‘Cara seperti blogging, menulis dari rumah dan sebagainya juga antara berniaga kecil-kecilan yang boleh meraih pendapatan,’ kata beliau.

PS: for more info and dates of programs do visit http://www.nowasia.sg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *