SIMPAN CHALLENGE- Kempen menabung bermula

BELAJAR MENABUNG: Editor Berita Harian, Encik Guntor Sadali (dua dari kanan), bersama pasukan Ekoniaga dan Encik Abu Ayubul Ansari (kiri) semasa melancarkan kempen Simpan Challenge. — Foto TUKIMAN WARJI


1 September 2009

EKONIAGA

SIMPAN CHALLENGE
Kempen menabung bermula

Peserta akan terima petua simpan wang dan jana pendapatan secara berkesan

PS: Bagi yang terlepas anda boleh hubungi 62200701 jika masih berminat untuk turut serta.

Oleh
Atiyyah Mohd Said
KEMPEN menabung Simpan Challenge anjuran Kelab Ekoniaga dan firma pendidikan kewangan, NowAsia, telah dilancarkan secara rasmi semalam, dengan menarik 900 peserta.

Mulai hari ini, para peserta kempen itu akan menerima tip dan petua menyimpan wang dan menjana pendapatan dengan berkesan menerusi e-mel mereka selama sebulan.

Kempen tersebut telah dilancarkan oleh Editor Berita Harian, Encik Guntor Sadali, bersama Kelab Ekoniaga dan pemilik Nowasia, Encik AbuAyubul Ansari di Singapore Press Holdings (SPH).

Kempen itu turut mendapat sokongan terbaru daripada dua lagi badan Melayu/Islam iaitu Mendaki dan Persatuan Bertindak Ginjal bagi Masyarakat Islam (MKAC).

Menurut Encik AbuAyubul atau lebih dikenali sebagai Abang Abu, Mendaki telah tampil untuk memberi sokongan dan akan melibatkan sekitar 100 keluarga dalam program itu.

Sementara itu, MKAC melangkah setapak lagi untuk bukan sahaja menggalakkan penyertaan daripada 50 keluarga, malahan sebagai insentif dan dorongan, ia akan memadankan dolar ke dolar bagi simpanan yang dibuat oleh para peserta dari MKAC sendiri.

Ketika melancarkan kempen itu semalam, Encik Guntor berkata usaha ini diharap dapat membantu memupuk sifat berjimat cermat dan tabiat menabung di kalangan keluarga Melayu.

‘Ia penting, terutamanya ketika keadaan ekonomi masih lagi gawat seperti pada masa ini, lebih-lebih lagi kerana banyak keluarga Melayu terjejas oleh keadaan ini,’ ujar beliau.

Selain Mendaki dan MKAC, kempen itu turut mendapat sokongan kukuh daripada Masjid An-Nur yang menyediakan ruang untuk pendaftaran, Rangkaian Usahawan Muda di Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (Yen@SMCCI), Persatuan Ain dan Angkatan Karyawan Islam (AMP) yang menggalakkan para peserta skimskim mereka menyertai kempen ini.

Editor Ekoniaga, Cik Fadilah A. Majid, melahirkan rasa gembira dengan sokongan badan-badan Melayu yang menggalakkan anggota mereka menyertai kempen ini.

‘Ia membantu menyemarakkan semangat kempen ini, dan sudah tentu akan memanfaatkan masyarakat,’ ujar beliau.

Menjelaskan inti kempen itu selepas pelancarannya semalam, Encik Abu berkata, para peserta akan menerima tip dan pedoman menabung setiap hari selama 30 hari serta tip ‘buat duit’ yang akan diberikan oleh usahawan terkenal, Encik Sujimy Mohd, setiap tiga atau empat hari sekali.

‘Setelah menerima tip, para peserta harus mengambil tindakan secara berkeluarga dan fikirkan tindakan yang terbaik berdasarkan tip-tip yang diterima itu. Selepas itu, mereka dikehendaki melaporkan kepada kami tentang apa yang telah dilakukan setiap tujuh hari.

‘Langkah-langkah yang diberikan sebenarnya praktikal dan mudah dilakukan. Ia tidak memerlukan banyak usaha, cuma para peserta perlulah mengubah suai gaya hidup mereka sedikit,’ ujar Encik Abu lagi.

Sebagai contoh, tip pertama ialah menyediakan tabung kosong dan tip kedua ialah meminta diskaun apabila membeli sesuatu.

Encik Abu menjelaskan, dua tip akan dihantar melalui e-mel setiap hari – tip simpanan dan pedoman yang lebih berunsur keagamaan seperti hadis dan kata-kata hikmah oleh Ustaz Abdul Rahman Mohd Sahid, seorang pegawai pembangunan sosial di Masjid Darul Aman.

Apabila ditanya tentang penglibatannya dalam kempen ini, Ustaz Abdul Rahman berkata, pedoman yang diberikan akan ‘saling melengkapi tip simpanan lain di samping meyakinkan dan memudahkan orang ramai untuk menabung’.

‘Saya harap dengan mengikuti kempen ini, masyarakat akan lebih memahami konsep menabung sebagaimana digalakkan oleh agama Islam,’ kata Ustaz Abdul Rahman lagi.

Jumlah sasaran simpanan maksimum yang boleh dicapai ialah $1,000 dalam masa empat minggu.

Pada akhir kempen itu, 10 keluarga atau individu yang berjaya menyimpan wang paling banyak akan dipilih.

Para peserta akan menerima sofwe pengurusan kewangan dan peruntukkan belanjawan bernilai $29 secara percuma. Para peserta boleh memanfaatkan sofwe itu untuk kegunaan perancangan kewangan sekeluarga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *