Oleh
Abang Abu DALAM keadaan ekonomi malap, ramai yang mungkin kehilangan pekerjaan. Ini akan mendorong mereka yang dibuang kerja itu memulakan perniagaan kecil-kecilan atau sambilan.
Oleh itu, AbangAbu ingin memberikan panduan tentang cara-cara memulakan perniagaan.
Setiap orang mempunyai sebab tersendiri kenapa mereka ingin berniaga.
Ada yang mahukan kebebasan memegang wang, kebebasan masa supaya dapat melakukan apa yang diminati, atau inginkan sesuatu yang baru.
Apa jua sebabnya, anda perlu memastikan bahawa anda mengambil langkah yang bijak, jika tidak anda akan menghadapi kesukaran dan kekecewaan.
Dalam memulakan perniagaan, beberapa soalan akan timbul:
Masa yang perlu anda laburkan dalam perniagaan anda;
Apakah matlamat kewangan anda?
Perniagaan apakah yang harus anda mulakan?
Bagaimana mendapatkan wang permulaan?
Di mana anda akan memulakan perniagaan?
Bagaimana anda akan mulakan perniagaan?
AbangAbu akan bincangkan beberapa perkara yang dapat memberikan anda idea dalam memulakan perniagaan.
Apakah yang perlu anda ada jika mahu berniaga pada saat ini?
Anda harus mempunyai keinginan yang kuat untuk memulakan bisnes. Anda juga perlu membuat penilaian tentang risiko yang terlibat, keadaan kewangan anda dan kebaikan serta keburukan memulakan perniagaan.
Pilih jenis urus niaga yang ingin anda lakukan.
Setelah membuat keputusan, anda harus yakin dengan perniagaan yang ingin anda jalankan itu.
Adakah anda ingin memilih perniagaan runcit atau perkhidmatan?
Adakah perniagaan anda memerlukan tempat atau lokasi tertentu?
Perlukah anda memulakan laman web anda sendiri?
Jawapan bagi semua soalan ini boleh anda dapatkan dengan melihat perniagaan-perniagaan yang sudah beroperasi.
Adakah pasaran untuk perniagaan atau produk anda itu?
Setelah membuat pilihan, anda harus pastikan pula bahawa perniagaan anda itu akan berjaya.
Setiap perniagaan yang berjaya mempunyai pasaran tersendiri, yang akan memastikan keuntungan yang diperolehi.
Untuk memastikan kejayaan perniagaan anda, anda harus tentukan bahawa produk anda itu akan dibeli oleh sasaran (pelanggan) anda.
Ingat, jika tidak ada orang yang inginkan produk anda, maka perniagaan anda tidak akan berjaya.
Kini AbangAbu pasti anda sudah boleh membuat keputusan untuk meneruskan impian anda itu.
Bagaimanapun, anda perlukan lebih banyak maklumat dan perlu membuat penyelidikan.
Anda boleh mendapatkan bantuan, misalnya daripada Pusat Pembangunan Usahawan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (EDC@SMCCI).
Anda juga boleh menghadiri kursus perniagaan dan mendapatkan mentor yang boleh membimbing anda.
Layari Internet dan dapatkan maklumat berguna yang akan memberikan anda fakta-fakta penting.
Dalam memulakan atau menjalankan sesuatu perniagaan itu, anda memerlukan pengalaman serta pengetahuan.
Sama ada anda berpengalaman atau tidak, anda perlu mempunyai pengetahuan tentang mengurangkan risiko dalam perniagaan anda.
Pengalaman akan anda perolehi, tetapi tidakkah anda terfikir bahawa pengetahuan adalah lebih penting sebelum anda mendapatkan pengalaman?
Dalam perniagaan kesimpulannya adalah:
Pengetahuan + pengalaman = Kejayaan.
AbangAbu yakin bahawa semua bakal usahawan akan mengunakan tip-tip serta informasi di atas sebelum menceburkan diri dalam dunia niaga.
Untuk sebarang maklum balas sila e-mel abangabu@nowasia.sg atau layari blog www.abangabu.com untuk dapatkan tip-tip perniagaan yang lain.