Belia & Bisnes

Mudah cetak
E-mel

12 Mac 2010

EKONIAGA

BELIA & BISNES
Kalau tidak tahu, hendaklah bertanya…

Oleh
Abang Abu
RAMAI usahawan baru beranggapan mereka tidak berupaya mendapatkan pandangan ataupun nasihat untuk memulakan perniagaan kerana mereka perlukan wang bagi membayar konsultan perniagaan.

Mereka juga beranggapan hanya syarikat besar sahaja yang mampu mempunyai pasukan penasihat dalam perniagaan mereka. Mereka juga malu bertanya dan inilah satu punca utama mengapa banyak perniagaan usahawan Melayu tidak dapat bertahan lama atau tidak dapat berkembang.

Sebenarnya, dalam menjadikan perniagaan anda lebih produktif, anda harus berusaha mendapatkan maklumat serta bantuan perniagaan.

AbangAbu, pada awalnya, menjadi anggota Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) di bawah rangkaian muda iaitu YEN@SMCCI. Di sinilah AbangAbu meraih banyak pengetahuan daripada anggota Dewan yang mantap perniagaannya.

Pemerintah juga membentuk Pusat Pembangunan Usahawan (EDC) di semua dewan perniagaan setempat bagi membantu usahawan mendapatkan sokongan dan bantuan yang ditawarkan pemerintah.

Dalam menjadi masyarakat peniaga yang produktif dan inovatif, anda harus bertanya.

Jika perniagaan anda berbentuk ‘One-man-Operation (OMO)’, jadikan rakan perniagaan yang lain sebagai ahli lembaga penasihat anda.

Jika anda mempunyai pekerja, pilih pekerja yang pada pandangan anda bermutu untuk dijadikan salah seorang ahli lembaga penasihat anda.

Mulakan perbincangan mengenai arah tuju perniagaan anda dan dapatkan pandangan mereka. Anda juga boleh menjadikan seorang penasihat kewangan sebagai ahli lembaga penasihat anda. Anda boleh menjadikan orang yang anda percayai dan mungkin kenalan anda sebagai mentor. Anda harus selidik latar belakang mereka sebelum menjemput mereka menjadi ahli lembaga penasihat perniagaan anda.

Beritahu mereka anda hanya menghubungi mereka jika hanya ada masalah yang berkenaan dengan mereka dan dapatkan izin mereka dahulu.

Anda juga boleh menceritakan perkembangan terbaru perniagaan anda dan mula bertanya tindakan yang harus dilakukan dalam sesuatu keadaan.

Nasihat seperti ini akan menjadikan anda mengambil tindakan perniagaan yang betul. Ini akan mengurangkan kadar risiko perniagaan anda. Malahan dengan adanya lembaga penasihat perniagaan anda sendiri, anda boleh berkembang dengan cepat dan dengan cara betul.

Jika ada tawaran, anda juga boleh menjadi ahli lembaga penasihat sesebuah perniagaan. Dengan ini, anda juga boleh pelajari pelbagai rahsia perniagaan serta memantapkan perniagaan anda sendiri.

AbangAbu juga dapat pelajari sesuatu yang baru dalam perniagaan dengan adanya lembaga penasihat sendiri serta menjadi ahli lembaga penasihat pada perniagaan orang lain.

Percayalah, anda akan berasa sangat gembira sekali jika anda dijemput menjadi ahli lembaga penasihat sesebuah perniagaan. Ini juga akan membuka peluang bagi anda menjadi ahli lembaga pengarah sekiranya perniagaan usahawan tersebut mencapai tahap yang lebih tinggi.

Sebagai permulaan, memang baik untuk usahawan muda menyertai sesebuah organisasi seperti YEN@SMCCI dalam mendapatkan nasihat perniagaan yang diberikan secara percuma.

Jadi bertanyalah.

Jika anda ada sebarang maklum balas atau ingin mendapatkan petua perniagaan yang lain, sila layari laman http://www.abangabu.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *