3 Mac 2011

EKONIAGA



Dua usahawan lancar cakera audio selok-belok berniaga

Oleh
Norhaiza Hashim

PENGALAMAN niaga mereka, jika digabungkan, sudah mencapai 22 tahun.

Jika duduk bersembang dengan Encik Sujimy Mohamad dan Encik AbuAyubul Ansari, banyak pengetahuan dan pengalaman niaga yang dapat dicedok.

Kini, tanpa duduk bersembang dengan mereka, orang ramai berpeluang mendapat panduan niaga daripada mereka menyusuli penerbitan cakera padat (CD) audio bertajuk Siap Berniaga Dalam 10 Hari, yang dihasilkan kedua-dua usahawan itu.

CD dalam bahasa Melayu itu mengambil masa dua tahun untuk disiapkan hasil tercetusnya idea mereka untuk bekerjasama dalam projek itu.

Ia mempunyai 10 modul, setiap satu memakan masa sekitar satu setengah jam.

‘Di akhir 10 modul, CD ini akan memberikan pendengar pengetahuan lengkap membina perniagaan dalam masa 10 hari,’ menurut Encik AbuAyubul Ansari atau Abang Abu, yang merupakan pemilik firma latihan keusahawanan, NowAsia.

Apa yang menarik mengenai CD ini ialah cara penyampaiannya yang dilakukan seperti sebuah rancangan radio.

‘Kami berdua berbual secara santai. Kami bertukar-tukar pandangan dan menyoal satu sama lain. Walaupun dibuat tanpa skrip, isi CD ini padat kerana ia mengandungi maklumat, rahsia perniagaan dan pengalaman peribadi kami sendiri,’ kata Encik Sujimy, Pengarah Kreatif, firma penerbitan ScreenBox, yang ditemui baru-baru ini.

Antara lain, mereka menyentuh mengenai minda seorang usahawan; mengenal pasti dan memilih idea perniagaan yang baik; kekuatan dan kelemahan kemudahan pinjaman yang disediakan dalam pasaran; dan jenis model niaga yang sesuai yang boleh mereka gunakan.

‘Mencari modal sering menjadi isu terbesar difikirkan seorang peniaga. Kami menyentuh jenis-jenis instrumen kewangan seperti pinjaman peribadi dan pinjaman faktoring. Misalnya, bila sepatutnya kita memilih pinjaman faktoring?’ jelas Encik Sujimy.

CD itu juga menyentuh cara memilih media massa yang sesuai bagi keperluan perniagaan mereka.

‘Pernah berlaku sebuah restoran yang kecil mengiklankan restoran mereka di televisyen. Selepas iklan, terlalu ramai pengunjung yang datang sehingga restoran itu tidak dapat menampung pengunjung yang terlalu ramai itu. Akhirnya, ia meranapkan perniagaan itu,’ ujar Encik Sujimy.

Encik Abu memberikan panduan ’24/7/1′ yang boleh dilaksanakan di dalam perniagaan perkhidmatan.

Setelah bertemu dengan bakal pelanggan, seorang peniaga itu boleh menghantar nota melalui salruan yang lain seperti e-mel dalam tempoh 24 jam, menghantar usulan perniagaan dalam tempoh tujuh hari dan menyelesaikan usulan itu dalam tempoh sebulan.

Kedua-dua peniaga itu, yang telah melalui tiga kemelesetan ekonomi sepanjang perjalanan niaga mereka, turut berkongsi panduan berhadapan dengan krisis itu.

Dalam modul ke-10, mereka telah menjemput Ustaz Syed Mustafa Alsagoff daripada Syariah Consultancy yang menerangkan soal jawab perniagaan dari segi agama.

‘Ustaz memberikan contoh-contoh dan ciri-ciri peniaga Islam yang berjaya. Malah, beliau turut memberikan perspektif Islam dari segi cara meletakkan harga produk dan membuat kontrak,’ tambah Encik Abu.

Bersifat interaktif, pendengar CD itu berpeluang membuat latihan yang boleh didapatkan dari laman-laman blog dua usahawan itu bagi beberapa modul dalam CD itu.

CD berharga $65 (tidak termasuk kos penghantaran $1.50) itu boleh ditempah di lamanwww.sujimy.com dan www.abangabu.com atau hubungi 6324-2463.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *