Belia Dan Bisnes : Produktif dalam perniagaan dan diri anda

29 Jan 2010

EKONIAGA

BELIA DAN BISNES
Produktif dalam perniagaan dan diri anda

Oleh
Abang Abu
BARU-BARU ini, kita pasti mendengar atau membaca mengenai isu produktif dalam perniagaan dan diri anda di akhbar serta radio. Malah para pemimpin juga membincangkan mengenainya.

Untuk Singapura terus maju serta bersaing dengan negara-negara lain maka produktiviti harus dipertingkat.


AbangAbu amat tertarik dengan isu ini dan merasakan ia penting sekali dalam perniagaan dan seorang usahawan.

Dalam rencana hari ini AbangAbu akan membincangkan cara-cara untuk menjadikan anda lebih produktif.

Produktif bermaksud mencapai matlamat anda dalam masa singkat. Bagaimana menjadi lebih produktif?

AbangAbu ada beberapa cara dan cadangan agar anda boleh menjadikan diri dan perniagaan anda lebih produktif.

  • Mulakan dengan matlamat anda. Apa yang AbangAbu ingin katakan ialah anda gambarkan kesudahan matlamat anda sebelum memulakan sesuatu. Anda harus tahu bagaimana anda mahukan kesudahannya. Misalnya, jika anda mahu perniagaan menguntungkan anda harus tahu berapa untung yang anda mahukan.
  • Jika anda tidak meletakkan apa yang anda inginkan maka anda mungkin tidak mempunyai pelan yang betul serta anda akan membuang masa pada perkara-perkara yang tidak akan mendapatkan matlamat anda itu.

    Lebih jelas matlamat anda, lebih produktif usaha anda untuk mencapainya.

  • Berikan tumpuan sepenuhnya terhadap sesuatu projek. Tidak kira apa jua projek atau perkara yang anda mulakan, anda harus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada projek tersebut bagi memastikan anda mencapai matlamatnya.
  • Pastikan anda tidak terpesong jauh daripada tumpuan terhadap projek yang anda mulakan.

    Ramai usahawan tidak memberi tumpuan terhadap apa yang harus mereka lakukan dan inilah yang menyebabkan mereka tidak produktif serta selalunya tidak mencapai matlamat mereka.

    Ini berlaku kerana usaha dan perhatian mereka beralih kepada perkara-perkara lain yang tidak langsung berkaitan dengan matlamat atau projek mereka.

    Untuk mencapai matlamat mendapat keputusan cemerlang dalam perniagaan, anda harus memberikan tumpuan 100 peratus kepada perniagaan anda.

    Ini memberikan anda tenaga dalam mengharungi segala cabaran untuk mencapai matlamat anda.

    Jika anda selidik semua orang yang berjaya, mereka mencapai tahap itu kerana tumpuan yang tidak berbelah bahagi ke atas apa yang mereka harus lakukan untuk mencapainya.

  • Tetapkan masa yang paling produktif dalam menjalankan perkara yang penting.
  • Biasanya masa yang paling produktif untuk AbangAbu ialah 5 pagi hingga 7 pagi. Masa inilah AbangAbu akan gunakan untuk menulis, membuat pelan serta memikirkan sesuatu projek baru.

    Ini kerana masa inilah amat sesuai dan tidak mempunyai sebarang gangguan daripada sesiapa pun. AbangAbu juga tidak perlu berasa risau akan masa atau sebagainya.

    Selalunya jika anda tidak mempunyai masa dalam melakukan perkara-perkara penting, anda akan berasa tertekan dan mungkin membuat perkara secara tidak teratur serta terburu-buru. Ini akan mengurangkan produktiviti dan akan mengakibatkan mutu yang tidak sempurna.

    Ada juga teman-teman AbangAbu yang lebih produktif pada waktu pagi seperti 2 pagi atau 3 pagi. Anda harus mencari masa yang paling sesuai untuk anda menjalankan perkara penting secara produktif.

    Anda juga boleh mengubah masa-masa dalam melakukan perkara-perkara penting supaya anda dapat memastikan masa yang anda rasa diri anda paling produktif sekali.

  • Berikan tarikh akhir untuk projek yang anda lakukan. Satu kajian mendapati bahawa jika tidak ada deadline maka projek itu akan mengambil lebih masa serta tenaga lagi dan AbangAbu rasa memang benar, jika tidak ada satu masa akhir, anda akan terus melakukan perkara-perkara yang mungkin tidak bersangkut paut dengan projek anda.
  • Ini juga mengakibatkan produktiviti anda berkurangan, sekali gus mengurangkan mutu kerja anda.

    Untuk memastikan anda tidak melakukan perkara yang tidak produktif, maka tetapkan deadline untuk sebarang projek atau matlamat anda.

    Dengan adanya deadline minda anda akan tertumpu pada perkara yang harus anda capai serta anda akan mula bekerja secara berkesan. Ini akan membuahkan hasil terbaik serta anda akan berasa amat gembira.

    AbangAbu berharap semua usahawan akan menjadi lebih produktif sebagai menyahut seruan para pemimpin negara.

    Jika anda ingin sebarang maklum balas, sila e-mel kepada abangabu@nowasia.sg.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *